Petikan dari: Utusan Malaysia
|
Antara hasil karya Yusof Gajah yang dijual di galeri ini. |
Bagi peminat seni lukisan tanah air tentu tidak asing lagi dengan galeri lukisan yang menghuni di salah satu sudut di Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Apa yang menariknya, kemunculan galeri-galeri lukisan ternama di ibu negara sekarang ini sedikit pun tidak menggugat galeri yang satu ini, bahkan ia terus tegar mendepani saingannya sejak lebih dua tahun lalu.
Rahsianya, kerana Gajah Gajah Gallery mempunyai keunikan tersendiri. Kebiasaannya, galeri lukisan hanyalah tempat seniman mempamer dan secara langsung menjual hasil karya mereka kepada para pelanggan.
Berbeza pula di galeri ini di mana pengunjung bukan saja leka menyaksikan keindahan lukisan yang tergantung di dinding, bahkan berpeluang menghasilkan sendiri lukisan-lukisan tersebut.
Pengunjung pasti akan menikmati keasyikan melukis lebih-lebih lagi bagi yang baru pertama kali memegang berus dan kanvas lukisan.
Berkonsepkan Karaoke Painting, pengunjung boleh melukis dengan hanya membayar RM50. Mereka akan diberi segala kelengkapan untuk melukis seperti kanvas yang berukuran 16 x 16 inci, berus serta medium untuk digunakan.
Sambil melukis, mereka akan dibuai dengan alunan muzik kegemaran sebagai halwa telinga dan hiburan.
Kelainan konsep ini sedikit sebanyak menarik perhatian para pengunjung yang terdiri daripada pelancong dalam dan luar negara.
Menurut pemilik galeri, Mohd. Yusof Ismail, 54, yang lebih dikenali dengan panggilan `Yusof Gajah', idea untuk mewujudkan konsep istimewa ini tercetus ketika beliau menghuni salah satu ruang di Perkampungan Pelukis di Kompleks Kraftangan, Kuala Lumpur.
“Semasa berada di situ kami didatangi beberapa keluarga yang ingin membeli lukisan yang dipamerkan. Membeli hasil seni kadangkala mengambil masa untuk menilai dan memahami maksud lukisan tersebut.
“Jadi, agar anak-anak yang datang bersama ibu bapa mereka tidak bosan menunggu, kami berikan mereka peralatan melukis. Sedikit sebanyak ini memberikan tarikan kepada ibu bapa.
“Kami putuskan untuk membawa konsep karaoke painting ini untuk kanak-kanak dan golongan dewasa ke Gajah Gajah Gallery.
“Di sini mereka boleh melukis apa sahaja yang diinginkan mengikut kreativiti sendiri dan membawa pulang lukisan yang telah siap untuk hiasan di dinding rumah,” ujarnya.
Istimewanya, tiada batas waktu untuk pengunjung melukis, bahkan jika lukisan itu belum siap mereka boleh menyambungkan pada hari lain mengikut kelapangan sendiri sehinggalah lukisan itu siap sepenuhnya tanpa bayaran tambahan.
Beliau sedar, tidak semua yang datang memiliki bakat dalam seni lukis, justeru bagi yang baru berjinak-jinak dan pertama kali melukis mereka akan dibantu dan diberi tunjuk ajar oleh lapan pelukis berpengalaman yang menjadi ‘ahli keluarga’ Gajah Gajah.
“Di galeri ini kami lebih menggalakkan pelanggan menggunakan medium akrilik kerana medium itu lebih mudah digunakan bagi yang baru belajar dan kurang mahir dalam mengadun warna dalam lukisan.
“Apa yang penting kami sentiasa ada untuk membantu mereka jika diminta,” kata Yusof yang sudah lebih 20 tahun bergelumang dalam bidang seni lukis ini.
Galeri tersebut dinamakan Gajah Gajah kerana beliau sendiri lebih gemar melukis subjek yang bertemakan gajah dengan diberi sentuhan atau perspektif kanak-kanak.
Yusof juga merupakan pelopor seni naif (Naive Art) di Malaysia, iaitu suatu konsep lukisan yang unik, tulus dan jujur. Konsep ini merujuk kepada satu gaya seni yang nampak keanak-anakan dengan cara yang ringkas atau idiosinkratik, tidak terlalu serius serta tidak terkongkong dengan peraturan dan perspektif.
Gaya tersebut merupakan kombinasi bakat dan pendidikan formal dalam seni catan yang ditekuninya di Sekolah Seni Rupa Indonesia, Yogjakarta, ketika mula-mula terbabit secara serius dalam bidang ini.
“Gajah sebenarnya hanya subjek untuk menceritakan pelbagai persoalan yang ada di sekitarnya. Ia kadang-kadang menceritakan tentang manusia, politik dan kemanusiaan,” jelasnya yang berhasrat membantu dan memberi motivasi kepada pelukis-pelukis baru.
Bagi Yusof, melukis merupakan terapi yang baik untuk merehatkan fikiran sekiranya pelukis senang dan berpuas hati dengan melihat hasil lukisannya sendiri.
Tetapi jika sebaliknya, ia juga boleh memberi tekanan pada pelukis.
“Dengan melukis juga kita dapat membaca perasaan seseorang sama ada dia gembira atau sebaliknya,” katanya.
Walaupun dengan keluasan tapak galeri yang begitu terhad, Gajah Gajah Gallery tetap memberikan keselesaan dan kepuasan agar pengunjung berasa seolah-olah melukis di dalam galeri sendiri.
Dihiasi hampir 150 buah lukisan hasil karya beliau dan keluarga Gajah-Gajah yang rata-ratanya bertemakan alam, budaya tradisional dan pemandangan bandar.
Selain menjadi tatapan para pengunjung Pasar Seni, hasil karya di situ juga dijual pada harga serendah RM20 hingga puluhan ribu ringgit sama ada dalam bentuk berbingkai atau poskad.
Menurut Yusof, kebanyakan pengunjung yang datang ke galeri ini terdiri daripada kanak-kanak berumur 12 tahun hinggalah golongan remaja dan dewasa.
Bersimpati
Ada juga sesetengah ibu bapa membawa anak-anak mereka untuk sama-sama melukis di galeri ini terutamanya pada hujung minggu.
Apa yang lebih menyeronokkan, ada juga remaja menyambut hari lahirnya dengan meraikan rakan-rakan untuk melukis di galeri itu dan menjadikan lukisan mereka sebagai kenangan.
“Ada menempah untuk melukis di rumah mereka sendiri bagi meraikan tetamu yang hadir. Tetamu dapat melukis secara percuma kerana ditaja oleh tuan rumah,” katanya yang memiliki satu lagi galeri lukisan di City Square Centre, Kuala Lumpur.
Sebagai pelukis berpengalaman, Yusof bercita-cita untuk mempunyai muzium lukisannya sendiri suatu hari nanti.
Baginya, memiliki sebuah muzium seumpama itu merupakan kemuncak kejayaan sebagai seorang seniman atau pelukis.
“Tanpa muzium, tiada siapa yang akan mengabadikan karya-karya kita sebagai seorang seniman apabila kita tiada lagi nanti. Lebih penting ia untuk tatapan anak cucu kita nanti,” katanya.
Beliau bersimpati dengan nasib sebilangan pelukis yang sememangnya berbakat tetapi tidak dapat pergi jauh.
Justeru, di Gajah Gajah Gallery, beliau berusaha bekerjasama dengan pelukis dan juga peminat seni yang berbakat dan mempunyai pengalaman yang luas untuk meningkatkan lagi profesionalisme mereka.
Di samping membuang sikap mementingkan diri sendiri, pelukis juga perlu boleh melukis dan pada masa yang sama dapat menjual lukisannya.
“Jadikan lukisan sebagai pelaburan serta meluaskan lagi skop bidang ini supaya ia tidak sepi begitu sahaja.
“Kita tidak mahu menjadi seniman besar tetapi hidupnya kecil,” katanya yang juga banyak mengadakan pameran lukisan di dalam dan luar negara.
Selain berbekalkan semangat dan minat yang mendalam dalam seni lukisan ini, Yusof juga mendapat dorongan padu daripada isterinya, Zakiah Mohd. Isa, serta tiga orang anaknya yang turut berkongsi minat yang sama.
Bagi Zakiah, lukisan merupakan gambaran kecantikan hubungan alam dan manusia yang cantik di mata dan yang senang di hati.
“Dengan melukis kanak-kanak dapat memupuk jiwa cinta dan sayangkan alam dan kecantikan, di samping memimpin mereka menjadi lebih kreatif,” katanya.
Justeru, konsep yang dibuat di galeri ini bertujuan untuk memberi peluang kepada peminat-peminat seni serta masyarakat untuk mempelajari dan memahami lebih dekat tentang seni naif ini.
Tambahnya lagi, mereka juga mengadakan hari keluarga, Art Camp iaitu program yang berbentuk pendidikan berkenaan dengan seni lukis untuk kanak-kanak.
“Kami juga mengadakan program kebajikan bagi membantu dana kewangan kepada yayasan dan hospital,” jelasnya yang juga art promoter di galeri ini.
Selain itu, pelbagai aktiviti lain turut diadakan termasuk Malaysia Naive Art Showcase yang akan menampilkan lebih 20 orang pelukis seni naif di Annexe Central Market, Kuala Lumpur, 7 Mei ini .
Bagi ibu bapa atau remaja yang ingin mencuba untuk melukis dan mendalami seni naif, galeri ini adalah tempat yang sesuai di mana ia dibuka pada setiap hari bermula pada pukul 10 pagi hinggalah 9 malam.
Link asal