Wednesday, July 22, 2009

Filem gubra. Pro dan kontra

































Aku ada terbaca beberapa komen tentang filem Gubra di internet. Dalam banyak2 komen, ini diantara komen yang mempunyai banyak fakta yang aku setuju walaupon ilmu perfileman xla bnyak kt otak aku. Tetapi mana ilmu yang aku belajar dan pengalaman, sungguh tepat.. Kt bawah ni atikelnya.. Sila baca dan nilaikan... Yang ni aku amik dari harakahdaily.net..



Begini - Ini semua peluru dari perang budaya. Janganlah barisan yang memperjuangkan Melayu-Islam berasa kalah. Oh tidak, bukan sikap pejuang untuk berasa kalah. Jangan berasa serik, kalau puntung kaki tangan serta hati nurani sekalipun kita masih ada cara untuk berperang dan berjuang.

Saya ingin memetik tiga perenggan buku yang saya ulit lama dahulu, iaitu Al-Ghazwu ats-Tsaqafi: Al Muqaddimat wa al-Khalfiyyat at-Tarikhiyyah oleh Ayatullah Sayyid Ali Khamenei yang mengupas persoalan perang budaya termasuk kedudukan filem dan karya kesusasteraan Islam harus bagaimana, menurut rahbar, terjemahannya:

Ada pun konfrontasi mereka dalam bidang kebudayaan, di antara contohnya adalah penerbitan buku dan makalah yang menentang Islam. Lainnya adalah produksi filem yang berisikan hinaan terhadap Islam dan penyebarluasnya di tengah masyarakat muslim dan non muslim.

Yang amat disayangkan dan mengundang keprihatinan, sebahagian penulis dan seniman malah ikut serta menggoreskan penanya dan menuangkan kemampuannya dalam hal kefasihan dan kesenian untuk berkhidmat kepada mereka. Semua itu mereka lakukan dengan tujuan meraih keuntungan material (baca: kepentingan nafsu semata-mata dan agenda besar menentang Melayu-Islam) sambil meminggirkan hati nurani kesusasteraan dan emosi artistik mereka.

Dan untuk mereka yang berasa kalah, saya kutipkan perenggan ini, juga dari buku beliau yang segar sekali isinya itu:

Kewajiban seluruh umat Islam, khususnya masyarakat Islam yang telah dikurniai jiwa kemerdekaan dan telah merasakan peribadatan kepada Allah, dan lebih saya tekankan lagi para ulama dan kaum terpelajar, adalah: "bersikaplah waspada! Janganlah kalian sampai terperosok ke dalam perangkap. Janganlah kalian takut mendapatkan label 'fanatik' atau ekstrimis (baca: jangan takut dituduh tidak liberal atau tidak terbuka). Janganlah kalian khuatirkan dituduh golongan fanatik dan berpegang teguh pada sunah. Dan janganlah kalian berlepas diri dari Islam sebagai prinsip dan dari hukum-hukumnya yang berkilau serta dari keterusterangan tujuan kalian dalam masyarakat beragama dan sistem pemerintahan tauhid sehingga musuh-musuh kalian yang keji menjadi senang kerananya."

Dendam kesumat musuh budaya Melayu-Islam

Seruan di atas menunjukkan dendam kesumat barisan musuh budaya Melayu-Islam ini terhadap visi dan kerja murni kita untuk kembali ke akar dan jatidiri. Mereka tidak dapat menafikannya lagi.

Ucapan di luar sedar tersebut menunjukkan kebencian yang amat sangat terhadap budaya Melayu-Islam. Kebencian yang sangat tepu dan pati. Kebencian yang tidak dapat dilindungkan lagi.

Moga-moga ramai yang meluat mendengar ungkapan batil serta durjana tersebut lalu celik mata serta tidak sepet lagi.

Kehidupan maha sekular sedang menujah pemikiran anak bangsa kita. Sambil berasa kasihan terhadap kesesatan mereka (doakan juga mereka diberi kebaikan segera) kita harus memasang strategi. Kata Imam Ali, batil yang tersusun akan menewaskan hak yang tidak tersusun.

Jangan benarkan mereka mencemarkan kita, dan jika dia berasa bodoh kerana berbahasa Melayu, kita buktikan kembali bahasa Melayu ini pernah menjadi bahasa ilmu satu masa dahulu dan merupakan bahasa yang hebat. Bahasa Melayu dan karya persuratan Melayu adalah benteng akidah, akhlak dan seluruh struktur adab budi kita.

Mari kita tegakkan kembali peradaban suci dan pertahankan persuratan sebagai kubu yang kukuh. Ini jalan terakhir yang ada untuk perang budaya dan penjajahan ini. Ayuh kembalikan. Jangan berasa malu dan segan, jangan berasa kalah dan perit.

Perjalanan masih panjang. Jangan benarkan kelompok kecil (tetapi strategis) yang hampas dan penuh noda ini menguasai kita. Biar kita luka atau cedera tapi undur jangan sekali.

Haram tinggal perjuangan

Sesungguhnya haram meninggalkan medan perjuangan. Kita mahu menjadi seperti Imam Hussein yang berjuang hingga ke akhir, kita mahu menjadi penebus dan pelawan hingga ke akhir seperti ibu kita Saiyyidah Fatimah az Zahra.

Penukaran agama Lina Joy tidak ada bezanya dengan penghinaan yang disemburkan dengan seruan di atas. Sesiapa pun dengan iman di dada akan berasa tercabar. Sesiapa pun yang benaknya dikuasai ilmu dan dapat menundukkan nafsu akan berasa aib dengan kenyataan melampau di atas.

Saudara-saudara betulkanlah saff perjuangan. Sesungguhnya bahasa Melayu kita sedang dikoyak-koyakkan dengan ganas, budaya kita sedang dicabul dengan penuh rakus. Dia berasa menang kerana hatinya tertutup dari cahaya.

Budaya kita sedang dinodai di semua medan pertempuran, dalam filem, di pentas, di buku semuanya kita sedang dibalun dengan sengit. Kuasai ilmu dan kemampuan seni saudara dan marilah kita berjuang dengan kekuatan karya dan produk seni kita pula.

Saya kekal bersemangat tinggi, saudara-saudara harus begitu juga. Ayuh bersama! - 14 Ogos 2006

II. Mengapa saya cemuh Gubra? - Faisal Tehrani

Saya tak menyangka entri mengenai Gubra (tehranifaisal.blogspot.com) menarik minat ramai. Seperti yang saya sebutkan ini blog saya, kalau ada yang tidak bersetuju itu anda punya pasal.

Akan tetapi ada pula yang tak mengerti mengapa saya menggunakan bahasa kesat, kasar, keras untuk menegur puak-puak ini. Saya tak sampai hati nak guna bahasa indah dan penuh nilai sastera untuk orang yang mempersendakan Islam.

Kenapa? Pertama, kerana di dalam dakwah, Islam memang menggalakkan penggunaan bahasa yang indah, kiasan, elok, puji-pujian kerana Islam itu memang mementingkan keindahan dan kehalusan.

Tetapi Islam juga mementingkan KEBENARAN. Kebenaran lebih utama dari keindahan. Tauhid lebih utama dari keindahan. Kalau kebenaran ditegakkan dengan sendiri keindahan ditegakkan.

Memang Bilal Li dalam Gubra boleh sahaja melakukan teguran dan nahi mungkar dengan bahasa yang sopan, katakanlah begini:

Bilal: Temah, abang tengok kau ini susah betul kerja begini.

Temah: Apa nak buat bang, Temah ini dah nasib jadi pelacur agaknya.

Bilal: Mana ada orang dinasibkan jadi begitu. Kau yang tentukan pilihan sendiri. Takkanlah kau nak jadi macam ni sampai bila-bila? Shahrin kan semakin dewasa. Orang pun dah ramai mengata. Kau tak kasihankan anak kau.

Kak Maz: Iyalah Temah, Kiah...marilah kakak ajarkan kau cara-cara nak buat nasi lemak dan jual tepi jalan tu. Kau buatlah sambal sotong tentu orang gemar. Yang kau nak jual badan buat apa?

Kiah: Kami tak tahu nak buat goreng pisang pun kak. Kami tahu mengangkang saja.

Bilal: Astaghfirullah, kasihan abang tengok kalian berdua ni. Beginilah abang uruskan dengan Jawatankuasa Surau supaya agihkan sedekah solat Jumaat untuk kalian sedikit buat permulaan modal bisnes.

Kak Maz: Hah betul tu, nanti abang tanyakan juga kepada pusat pungutan zakat supaya bagi wang sedikit untuk mereka setiap bulan.

Temah: Susahlah kak, Temah tahu buat kerja ni saja. Temah dah terbiasa. Masak-masak ni Temah tak reti.

Kiah: Betul tu kak Kiah, abang Li...

Bilal Li: Macam mana kami nak tolongkan kalian berdua supaya tak duduk dalam maksiat. Aku ni bilal, kalau aku tak tolong kalian nanti Tuhan tanya aku di akhirat apa pulak aku nak jawab. Sia-sia saja kau solat tonggang tonggek tapi tak cegah kalian dari jadi begini. Buat habis pahala aku saja.

Kak Maz: Kalau Temah tak nak jual nasi lemak atau cikodok atau tahu sumbat pun tak apa. Kak Maz kenalkan dengan orang jualan langsung mahu? Temah dengan Kiah jual la barang kemas zhulian ke.

Kiah: Tak retilah kak.

Kak Maz: Kalau tak reti kak Temah kenalkan orang yang boleh tolong kau jadi ejen Sendayu Tinggi, tak nak? Dulu taukeh dia pun hidup susah melarat juga macam kalian ni, tapi tak de lah sampai jadi macam kalian.Dia jumpa nenek bidan terus dapat petua kecantikan, sekarang dah kaya raya bukan main cun melecun lagi.

Temah: Kita orang tak reti la bisnes ni.

Bilal Li: Kalau tak reti sangat kau tolong abang jual prepaid kad, bila orang nak top up kau dapat komisen, tak mahu?

Kak Maz: Habis semua kau tak mahu, tak reti...kak Maz kena tolong kau, tegur kau, dan halang kau dari jadi macam ni. Kalau tak sia-sia Kak Maz ajar orang mengaji.

Temah: Nanti Temah fikirkan, betul juga. Ni pun Temah dah dapat HIV. Takkan Temah nak duduk dalam maksiat. Haram. Shahrin dah besar, Temah tak tahu sembahyang ni pun. Baca Quran pun Temah tak reti. Shahrin padahal lagi cekap dari Temah, dia belajar J-Qaf, Temah malu dengan anak sendiri.

Kiah: Tapi jual goreng pisang tak boleh kaya cepat.

Bilal Li: Di surau tu ada tabika kau kerja dengan tabika itu...dari kau kena pukul dengan pelanggan yang jahat tu, lagi elok kau jaga anak orang. Itu pun kau memang suka budak-budak bukan?

Kiah: Kami ada mak ayam jahat abang.

Bilal Li: Tak apa, nanti abang carikan JKK, orang Pejabat Agama dan bincang macam mana. Pak cik abang kerja jadi dj di radio IKIM. Takkanlah dia orang tak nak tolong, Inikan negara Islam yang terbilang, satu dunia kenal Malaysia sebagai negara Islam. Pemimpin kita pun Pengerusi OIC. Takkanlah kami nak diamkan kalian duduk dalam lubang dosa ni. Susah sangat nanti abang carikan mana-mana bekas pemimpin al-Arqam yang telah bertaubat, mereka suka tolong wanita dalam sengsara macam korang ni.

Mengapa susah sangat dakwah dalam filem

Jadi susah sangat nak masukkan elemen amar makruf nahi mungkar dalam filem? Jadi saya katak bawah tempurung?

Menegur kezaliman misalnya tidak akan dapat dilakukan dengan bahasa yang lunak. Kalau dengan Temah dan Kiah memang boleh menggunakan bahasa indah dan kias untuk berdakwah tapi dengan pihak yang memutarbelitkan Islam, dan jelas pula menyesatkan bolehkah?

Dalam sejarah Nabi Musa menegur Firaun tidak pernah baginda menyatakan, alahai bapaku sayang yang manja lagi berwibawa marilah intan payung menyembah Allah.

Atau dalam sejarah Nabi Ibrahim dan Namrud, baginda bukan sahaja tidak berbahasa manis, atau berbahasa kelat masam tetapi baginda pergi kepada patung Namrud dan kapakkan.

Itulah namanya Nahi mungkar. Kalau baginda Rasulullah itu seorang yang mementingkan keindahan semata, tidaklah baginda pergi berperang sampai luka dan cedera. Rasulullah pergi berperang sebab nak tegakkan kebenaran. Yang dia perangi itu pula bapak saudara dia, segala ipar duai kaum keluarga dia sendiri. Boleh ikut cara dia?Dalam menegakkan kebenaran, Islam bukan sahaja menggalakkan bahasa kesat, malah diwajibkan pergi berperang.

Bahasa baik, keras dalam dakwah

Kerja dakwah takkan selesai, dan bahasa baik atau keras memang selalu digunakan sepanjang jalan dakwah. Dalilnya, lihat ayat-ayat Quran di bawah ini. Kalau tak puas hati buka tafsir, pergi mengaji cari ustaz di masjid mana-mana untuk mengaji.

Allah pun gunakan kera, babi, celaka, anjing untuk mengumpamakan orang-orang yang menentang Islam dan keliru ini. Kalau malu pergi masjid sebab rasa macam masjid itu tempat orang konservatif sedangkan anda liberal, atau tak bersedia nak pakai tudung maka pergilah beli kitab tafsir.

Tak payah kitab yang susah mulakan dengan Tafsir Azhar pun dah cukup baik. Kalau tentang orang munafik tak usahlah, banyak hadis pula tentang neraka untuk mereka. Saya telah beri dalil saya, dalil saudara? Tidak saya bukan mahu bongkak tetapi saya mahu berhujah. Allahu 'alam.

Dalil penggunaan bahasa keras

Maksud Al-A'Araf ayat 176: Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (derajat) nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya diulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.

Maksud Al A'raf ayat 179: Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Maksud Al A'raf ayat 180: Hanya milik Allah asmaulhusna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaaulhusna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.

Maksud Al-Masad ayat 1-5: Celakalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan.Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.Dan (begitu pula) istrinya, pembawa kayu bakar.Yang di lehernya ada tali dari sabut.

Maksud Al-Baqarah ayat 65: Dan sesungguhnya telah kamu ketahui orang-orang yang melanggar di antaramu pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".

Maksud Al-Maidah ayat 60: Katakanlah: "Apakah akan aku beritakan kepadamu tentang orang-orang yang lebih buruk pembalasannya dari (orang-orang fasik) itu di sisi Allah, yaitu orang-orang yang dikutuki dan dimurkai Allah, di antara mereka (ada) yang dijadikan kera dan babi dan (orang yang) menyembah thaghut?" Mereka itu lebih buruk tempatnya dan lebih tersesat dari jalan yang lurus."

Dan tentang ghibah (mengata dan mengeji dengan kasar ini), sila buka surah an Nisa ayat 148, bermaksud: Allah tidak menyukai orang-orang yang mengungkapkan keburukan, kecuali bagi orang yang dizalimi.

Memang saya emosi, dalam hal Islam dipersendakan sesiapa boleh tenang dan tak melenting itu tak tahulah di mana duduk imannya.

Isu Maulana Rumi

Ini satu lagi yang sangat menyakitkan hati saya. Penyelewengan sarjana Barat disahkan dalam Gubra. Banyak sarjana Barat mengkaji Rumi tapi hati-hati, ada yang tertentu sahaja munasabah. Betulkah Maulana Rumi terima semua agama kerana Tuhan itu sama? Benarkah ada konsep oneness? Bahawa maulana terima siapa sahaja termasuklah mereka yang bergelumang dengan maksiat dengan alasan kasih sayang dan saling memaafkan?

Kalau baca berdasarkan kaca mata orientalis (yang berlambak dalam internet) memang ya. Tetapi orang Turki sendiri tak habis faham apa kata Rumi kerana baitnya dalam Parsi dan orang Parsi sendiri tergamam dengan bait Rumi kerana banyak yang perlu ditafsirkan. Tambah-tambahlah saya. Atau sesiapa di luar sana yang gubra.

Marilah kita berdoa dibuka pintu irfan untuk kita semua. Karya sufi untuk orang sufi. Sebab kena guna akal untuk faham. Kena guna ilmu, kena guna amal. Kerana itu jangan copy and paste sesuka hati.

Ajaran Maulana memang mudah, kasih sayang, memaafkan tetapi ajaran beliau berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w: Undang-undang adalah perkataanku, cara merupakan usahaku, dan kebenaran adalah kebesaran batiniahku.

Orang sufi memahami syariah dari sini, melaksanakan cara mereka (tarikat) dari sini dan mencapai haqiqah atau kebenaran juga bertitik tolak dari sini. Sumber mereka hadis ini. Sumber mereka Nabi Muhammad Inilah juga asas ajaran Rumi seperti yang beliau tuliskan dalam Pir Changi.

Ini terpancar dalam bait (terjemahan Melayunya):

Padanya kukatakan rahsia sahabat lebih baik dengarkan dalam isi cerita lebih baik rahsia kasih diserlah dalam bualan orang lain.

Kalau kita baca selapis bait ini terpinga-pinga kita. Tapi Maulana bercakap mengenai hadis di atas.

Maulana memang menggalakkan kasih sayang tetapi urusan haram tetap haram. Ini terpancar dalam bait Maulana di bawah, juga dari Pir Changi:

Yang Benar pada kita bersuara katakan, marilah! buat isyarat kita mengatasi rasa malu.

Bait ini adalah tafsiran kepada ayat 151 surah al-An'am: Katakanlah: Marilah ku bacakan apa yang diharamkan Tuhanmu kepadamu, iaitu janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua ibu bapa,... demikianlah apa yang diperintahkan oleh Tuhanmu kepadamu supaya kamu memahaminya.

Atas nama kasih sayang

Sebab itu kata bait yang dipetik dalam Gubra telah dipenggal dari sekian ribu bait lain! Maulana tak pernah mengesahkan kesyirikan apatah lagi yang haram-haram atas nama kasih sayang dan kemaafan.

Malah Rumi sekali lagi dalam bait yang lain, juga dalam Pir Changi menyebut:

Kerana tiap jiwa diterimanya sepuluh sebagai nilai dari seruling bacalah sepuluh perumpamaannya.

Bait ini bukan sekadar puisi! Sekali baca lelah nak memahamkan, kerana sebenarnya Rumi bercakap mengenai ayat 160 surah al-An'am, maksudnya: Barang siapa beramal baik, maka ia memperoleh sepuluh kali ganda amalnya; dan barang siapa yang berkelakuan jahat, maka ia tidak diberi pembalasan kecuali seimbang dengan kejahatannya, sedangkan mereka sedikit pun tidak dirugikan.

Dan tidak pernah ada bait yang lebih jelas tentang penentangan Maulana terhadap konsep inter-faith commission yang kurang ajar itu melainkan bait ini:

Ketiga kerana ku pergi jauh darimu seolah kukatakan ketiga dari yang tiga. (Pir changi, hikayat iv)

Tafsir Rumi sesuka hati

Di mana Maulana dalam bait itu mengulas ayat 73 surah al-Maidah: Sesungguhnya kafirlah orang yang mengatakan: Bahawasanya Allah salah seorang dari yang tiga, padahal sekali-kali yang ada hanyalah Tuhan Yang Esa.

Jangan main bedal menafsir bait Rumi sesuka hati. Oh aku suka puisi, baca puisi Tagore, baca puisi Iqbal, baca puisi Khalil Gibran dan kemudian menafsir puisi Rumi ikut nafsu rendah sendiri. Kalau mahu tafsir puisi mistik biar faham ilmu mistik Islam.

Jadi apa halnya dengan bait: The lamps are different but the Light is the same yang terselit di akhir filem Gubra?

Jadi the lamps are different but the Light is the same? Rujuklah ayat ini.

Allah berfirman dalam surah al Maidah ayat 48, maksudnya: Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah mengkehendaki nescaya kamu dijadikannya satu umat saja tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya,lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu.

Inilah konteks bait Rumi tadi dengan ayat suci al-Quran ini. Dan ayat di atas ada ayat sebelumnya (jangan buat kerja penggal potong copy and paste sesuka hati nafsu). Ayat itu pula berbunyi, maksudnya:

Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah Turunkan dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu.

Begitulah, Allahu 'Alam.

Perjalanan spritual

Bait ini seperti mana bait Rumi, Fansuri, Shirazi dan mereka yang sewaktu dengannya harus diamati dan kadang-kala perlu tiba ke makam kaum urafa' untuk menanggapi perjalanan spiritual sheikh-sheikh ini.Orang mahu merujuk diri mereka kepada irfan atau tasawuf (menurut orang sunni) tetapi mereka memisahkan bait yang atas tadi misalnya dengan bait-bait Rumi yang lain yang jumlahnya beribu-ribu itu.

Sedangkan Rumi menekankan irfan harus berdasarkan marifatullah.Dan kasih sayang segala yang diajarkan oleh Rumi itu sama sekali tak terpisah dari jihad. Malahan Rumi menyarankan jihad besar juga kecil:

Wahai kesatria telah kau bunuh musuh lahir namun tersisa musuh tersembunyi yang lebih kejam dan berbahaya mustahil kau bunuh musuh itu dengan akal dan ilmu Kerana ia kuat bak macan, bukan kelinci mainan sungguh jiwa adalah api yang berkobar akan menelan siapa yang mendekat bagai ular menelan mangsa api yang berkobar itu lautan pun tak mampu memadamkannya.

Saya tak akan mengulas lagi isu ini dan semoga entri ini memberi manfaat dan membolehkan saudara-saudara yang masih meraba, berfikir. Macam saya sebutkan dahulu hidayah macam cahaya, kau duduk dalam bilik gelap kau terpekik-pekik minta cahaya tapi tingkap kau tak nak buka macam mana cahaya nak masuk?

Justeru kalau betul mahu berfikir, buka hati dan lapangkan benak baru hadam entri ini. Segala yang baik datang dari Allah, yang salah silap datang dari saya sendiri.

0 comments: